BUKIT MERTAJAM: Lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) termasuk seorang berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Majistret  Bukit Mertajam atas pertuduhan melakukan pemerasan wang berjumlah RM4500 terhadap pekerja kilang di Jalan Permatang Tinggi, 1 Februari lepas.

Bagaimanapun ,tertuduh Sarjan Rozaini Abu Hassan, 48, Koperal Muhammad Mustaqim Ismail, 35, Lans Koperal Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24, Koperal Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38, dan Lans Koperal Muhamad Khusairi Ahamad, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki berusia 28 tahun yang dikatakan telah melakukan kesalahan kerana memiliki dadah berbahaya sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang  RM4,500 .

Kesalahan didakwa di lakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat pada 1 Februari lepas kira-kira  jam 10.15 malam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebat atau mana- mana dua dari hukuman tersebut.

Kes dikendalikan  Pengarah Pendakwa raya Negeri, Mohd Nordin Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam V.S.Kumar.

Semasa prosiding, Mohd Nordin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan kesemua tertuduh tidak dibenarkan mendekati saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam memohon agar jaminan munasabah diberikan kepada semua anak guamnya kerana masing- masing memberi alasan perlu menanggung isteri, anak yang masih kecil termasuk ada anak OKU serta ada isteri yang sarat mengandung.

Mahkamah  kemudian menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin setiap seorang serta syarat tambahan kesemua tertuduh tidak boleh mendekati saksi sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 15 Mac depan untuk serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan lima anggota polis ditahan kerana dipercayai melakukan pemerasan wang berjumlah RM4500 terhadap pekerja kilang kerana didakwa memiliki dadah di Jalan Permatang Tinggi.

Penahanan kesemua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis dan Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah termasuk seorang berpangkat Sarjan berusia 24 hingga 48 tahun itu dibuat susulan laporan polis dibuat oleh mangsa.